Wednesday, July 22, 2009

Gerhana matahari tanda kebesaran Tuhan


Umat Islam kena elak perbuatan tahyul ketika fenomena alam


MASYARAKAT Islam dinasihatkan tidak melakukan perkara khurafat yang boleh melanggar akidah Islam apabila berlaku gerhana matahari. Fenomena gerhana matahari separa itu akan dapat dilihat terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia khususnya Kangar, Perlis mulai jam 8.23 pagi ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata ramai yang masih mengaitkan kepercayaan salah termasuk kelahiran dan kematian dengan gerhana matahari dan khurafat itu perlu dihentikan kerana ia menyebabkan syirik kepada Allah.

"Gerhana matahari perlu dilihat sebagai satu lagi kejadian yang membuktikan kebesaran Allah yang berkuasa ke atas makhluknya termasuk menentukan peraturannya.

"Apa yang perlu dilakukan masyarakat Islam, selain melihat keagungan Allah itu ialah mereka hendaklah mensyukuri melalui solat sunat gerhana matahari diikuti dengan khutbah khas seperti yang dilakukan Rasulullah SAW ketika fenomena itu berlaku pada tahun 8 Hijrah," katanya ketika dihubungi.

Rakyat Malaysia boleh melihat gerhana matahari penuh itu hari ini dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.live-eclipse.org dan www.eclipse-tv.com.
GERHANA hampir 70 peratus menutupi matahari berlaku di Kuala Lumpur pada 4 petang hingga jam 7 malam pada 26 Januari 2008.

Gerhana matahari separa yang sukar dilihat dengan mata kasar, akan berlangsung selama lebih sejam iaitu bermula 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

Jamil Khir berkata, fenomena yang berlaku hari ini, amatlah besar hikmatnya, supaya manusia memerhatikan kebesaran Allah. Bulan, matahari dan cakerawala lain, sentiasa sujud dan bertasbih kepada Allah.

"Oleh itu, manusia yang lebih sempurna sifatnya, hendaklah sentiasa mengingati Allah, apatah lagi ketika gerhana matahari. Umat Islam disunatkan mengadakan solat sunat gerhana matahari dan khutbah khas. Manusia hendaklah sedar bahawa nikmat matahari kurniaan Allah boleh ambil kembali pada bila-bila masa," katanya.

Sebahagian wilayah dari India sehingga Shanghai, China dan Jepun akan bergelap hampir enam minit, berikutan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku pagi ini, yang dianggap gerhana paling lama bagi abad ke-21. Bagaimanapun, Malaysia yang pernah mengalami gerhana matahari penuh di Kudat Sabah pada November 1995, dan beberapa negara lain di Asia, sebaliknya hanya mengalami gerhana matahari separa.

Menurut Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu, melalui laman webnya, www.falak.udm.edu.my, penduduk negara ini hanya berpeluang menyaksikan gerhana itu dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara tiga peratus hingga 18 peratus saja.

Gerhana matahari separa berlaku selepas waktu Subuh, namun ia semakin jelas dari jam 8.24 pagi sehingga 9.56 pagi ini. Gerhana matahari terjadi apabila bulan yang sedang mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari.

Bayangnya yang terkena pada permukaan bumi membentuk gerhana. Fenomena ini sebenarnya jarang berlaku dengan kemungkinan hanya sekali atau dua kali dalam setahun kalendar. Kali terakhir negara mengalami gerhana matahari ialah pada 26 Januari lalu.

Gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh dan cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin.

Dilaporkan, masyarakat Jepun bakal meraikan gerhana penuh dengan percikan bunga api, manakala di India, wanita hamil tidak dibenarkan keluar rumah bagi mengelak cahaya halimunan matahari dan pelbagai tahyul berkaitan gerhana matahari.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah online menyatakan masyarakat Islam perlu melihat fenomena ini secara positif sebagai memperlihatkan kekuasaan Allah yang memperlihatkan matahari yang bercahaya secara tiba-tiba menjadi gelap, kemudian bercahaya semula.

Kehebatan kekuasaan Allah mampu mengubah segala-galanya di langit dan bumi pada bila-bila masa dan tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat qada dan qadar-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir-Nya. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari, tidak juga bulan dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah." � (Surah al-Fussilat, ayat 37)

Catatan sejarah Islam memperlihatkan gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiulawal tahun kelapan Hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.

Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu." � (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun.

Imam an-Nasaie meriwayatkan, Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang.

copied from: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20090722013026/Article

No comments: