Tuesday, November 20, 2012

SapuraKencana terus perkukuh kedudukan


Kedudukan SapuraKencana Petroleum Bhd sebagai pengendali pelantar gerudi terbesar global akan memberikan kelebihan kepadanya membida pelbagai projek perkhidmatan minyak dan gas di seluruh dunia. 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Shahril Shamsuddin, berkata langkah syarikat itu membeli perniagaan pelantar gerudi firma Norway, Seadrill Ltd bernilai AS$2.9 bilion (RM8.88 bilion) awal bulan ini, akan meningkatkan peluangnya untuk terus berkembang dalam segmen berkenaan. 



Jika kami memiliki banyak pelantar gerudi, peluang sentiasa ada untuk memasarkan kemudahan ini. Pelantar gerudi itu boleh disediakan pada bila-bila masa, kami boleh membida semuanya, katanya di Kuala Lumpur, semalam. 



Pada 5 November lalu, SapuraKencana memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Seadrill yang mana apabila dimuktamadkan nanti akan menyaksikan penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas tempatan itu menguasai separuh pasaran perniagaan pelantar gerudi di peringkat antarabangsa. 

Ia bakal memiliki 21 pelantar gerudi berbanding hanya empat dimiliki pesaing terdekatnya. 

Shahril menegaskan, walaupun pembelian itu kelihatan mahal atas kertas namun, ia berbaloi kerana menawarkan potensi pendapatan yang tinggi kepada kumpulan, selain menyumbang keuntungan berterusan. 
Kami percaya ini urus niaga yang baik. Jika tidak, kami tidak akan meneruskannya, katanya. 

Beliau menegaskan, langkah itu meningkatkan margin SapuraKencana memandangkan pelantar gerudi perniagaan yang mempunyai margin kukuh.

Selain memperoleh aset, Shahril menjelaskan, pembelian itu juga membolehkan SapuraKencana mendapat akses lebih meluas kepada pasaran global, di samping memperoleh kontrak sedia ada yang sedang dilaksanakan firma Norway itu. 

Katanya, nilai kontrak dalam tangan 21 pelantar gerudi berkenaan ialah sekitar AS$1.5 bilion (RM4.59 bilion), sekali gus mengukuhkan lagi nilai kontrak dalam tangan SapuraKencana yang kini berjumlah sekitar AS$18 bilion (RM55.13 bilion). 
Kami mahu terus mengembangkan pasaran ini (perniagaan pelantar gerudi), katanya. 

Katanya, semua pelantar gerudi berkenaan sudah mempunyai kontrak perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas sehingga antara dua hingga tiga tahun akan datang. 

Di bawah MoU berkenaan, perniagaan pelantar tender SapuraKencana yang diperbesarkan itu terdiri daripada 16 pelantar yang sedang beroperasi, termasuk pelantar KM1 yang kini dikendalikannya, dengan lima daripadanya pula sudah pun dimiliki dan diuruskannya melalui usaha sama sedia ada dengan Seadrill. 

Sementara itu, lima unit lagi sedang dalam pembinaan, termasuk tiga yang dibeli dalam urus niaga terbabit dan dijadualkan siap pada 2013. 

Pelantar yang sudah beroperasi dan sedang dibina itu kini di bawah kontrak jangka panjang dengan syarikat terkemuka seperti Chevron, Shell, PTT EP dan Petronas Carigali. 

Mengulas lanjut, Shahril berkata, pelantar gerudi berkenaan sesuai digunakan bagi perairan laut cetek dan sederhana dalam di banyak kawasan yang masih belum diteroka. 

Antara kawasan berkenaan termasuk Myanmar, Thailand, Vietnam, rantau Amerika Selatan, Amerika Syarikat (AS) serta negara Afrika seperti Angola dan Mali, katanya.

Copied news from Berita Harian at 20 Nov 2012 

No comments: