Wednesday, July 7, 2010

Bida projek RM3 bilion - SapuraCrest Petroleum

KUALA LUMPUR 6 Julai - SapuraCrest Petroleum Bhd. (SapuraCrest) sedang membida beberapa projek di dalam dan luar negara bernilai RM3 bilion pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rohaizad Darus berkata, daripada projek-projek itu, hanya satu projek bernilai RM1.4 bilion melibatkan projek penyelenggaraan Petronas Carigali manakala bakinya adalah projek luar negara.

''Bagi projek di luar negara, antara negara-negara yang menjadi tumpuan adalah di Vietnam, Indonesia dan India.

''Walaupun tumpuan utama syarikat adalah untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara, tetapi pasaran domestik tetap diberikan keutamaan sebagai sebahagian daripada rantaian nilai kepada syarikat,'' katanya selepas mesyuarat agung tahunan SapuraCrest, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi SapuraCrest, Datuk Hamzah Bakar dan Naib Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Shahril Shamsuddin.

Tambah Rohaizad, pada masa ini kontrak dalam tangan syarikat bernilai RM10 bilion yang boleh bertahan sehingga akhir tahun 2012.

Sementara itu, Shahril berkata, mereka juga turut meninjau pasaran baru seperti di Vietnam, New Zealand, India dan Timur Tengah.

''Pada masa yang sama terdapat banyak projek baru di kawasan-kawasan seperti Australia yang bakal membangunkan tiga projek laut dalam yang besar.

''Selain itu, projek-projek baru juga banyak terdapat di Malaysia, Indonesia dan India,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, strategi perniagaan SapuraCrest adalah mengurangkan kos dan mengekalkan kehadiran mereka di beberapa kawasan di luar negara.

Rohaizad berkata, di bidang pengurusan, kos syarikat berjaya dikurangkan sebanyak RM30 juta pada tahun lalu dan ia akan diteruskan pada tahun ini.

''Sasaran kami adalah kurang daripada RM30 juta seperti sebelumnya kerana kebanyakan pengurangan kos yang mudah dan asas telah dilaksanakan pada tahun lalu.

''Strategi kedua adalah kekal berada di negara-negara yang kami pergi seperti di Vietnam dan India. Setakat ini, SapuraCrest hanya mempunyai pejabat di Indonesia dan kami berharap bakal membuka pejabat di negara-negara lain dalam usaha mengembangkannya dalam jangka panjang.'' kata beliau.

Setakat ini, SapuraCrest telah mempunyai divisyen luar negara bagi meneruskan hasrat pengembangan perniagaan tersebut.

Ketika ditanya mengenai cadangan mempelbagaikan perniagaan dengan mengambil alih syarikat, Shahril berkata, fokus mereka adalah perniagaan sedia ada tetapi sekiranya syarikat itu memenuhi kriteria strategi perniagaan dan pada harga berpatutan, mereka tidak menolak kemungkinan tersebut.

No comments: