Thursday, July 15, 2010

Bukan omong kosong - Be Host of World Cup 2016

Oleh AIZAWATI AHMAD

KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 bukan omong kosong, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Menurut beliau, cadangan tersebut merupakan satu usaha yang baik untuk pembangunan bola sepak negara.

Sehubungan itu, katanya FAM menyokong usul berkenaan sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan impian tersebut.

‘‘Bagi saya ia merupakan satu sasaran yang realistik, bukan sekadar omong kosong.

‘‘Saya menyangkal dakwaan yang menyatakan cadangan ini mengarut,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Azzuddin, jika ada yang menyifatkan cadangan tersebut sebagai ‘angan- angan mat jenin’, itu adalah pandangan umum, di mana rakyat berhak untuk menyatakan pendapat mereka.

Jelasnya, penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak yang ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), membuktikan keseriusan kerajaan bagi memajukan sukan tersebut, terutama dalam usaha melahirkan pemain berwibawa.

‘‘Kita perlu meletakkan sasaran, jika berhasrat untuk menjadi tuan rumah pada 2026.

‘‘Kita perlu ada program sokongan dan pembangunan semasa, bermula dari sekarang dan salah satunya ialah penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak,’’ ujarnya.

Beliau berkata, tiada yang mustahil jika kerajaan berhasrat untuk menjadi penganjur kejohanan tersebut, sekiranya perancangan yang disusun dapat dilaksanakan dengan baik.

Katanya, individu yang menjadi tulang belakang untuk menjayakan projek tersebut, perlu benar-benar berkaliber dan mampu melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.

‘‘Kita pastinya mahukan keuntungan dalam setiap program besar yang dilaksanakan, begitu juga dengan penganjuran Piala Dunia.

‘‘Jadi, kita perlu menyusun perancangan secukupnya dan mengambil iktibar kesilapan atau kesalahan lalu, bagi memastikan hasrat ini dapat dilaksanakan dengan baik,’’ katanya.

Azzuddin berkata, jangka masa 16 tahun sebelum 2026 amat relevan yang mana anak-anak yang berusia sekitar 8 hingga 12 tahun ketika ini, merupakan kumpulan sasaran untuk bakat mereka dibentuk.

No comments: